14 Nov 2016

Jabal Tsur
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Azie Azif dapat pergi umrah Makkah Madinah. Dengan limpahan Rahmat dan Kasih sayangNya kami diberi peluang menziarahi sekitar kawasan Kota Mekah dan seterusnya berniah ihram umrah di Masjid Ja'ranah.
Tempat-tempat yang dibawa ziarah ialah tempat Nabi Muhammad SAW pernah lalui, pernah pergi atau berehat atau menetap di situ. Tempat ziarah pertama yang Andalusia bawa ialah Jabal Tsur. Ada yang eja Thur. Nabi Muhammad SAW pernah berada di Jabal Tsur yakni Gua Tsur selama tiga (3) malam. Kisah Jabal Tsur ni berkait rapat dengan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah.
Cerita ustaz, kisah sejarahnya bermula ketika Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan dakwah Islam selama 23 tahun. 13 tahun di Kota Mekah di mana Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwah secara rahsia, secara senyap-senyap. Umat Islam ketika itu golongan minoriti dan golongan ditindas sering dizalimi. Waktu demi waktu berlalu, akhirnya umat Islam berhijrah atas perintah Allah. Berhijrah untuk menyelamatkan keimanan mereka dan untuk menyebarkan lagi dakwah Islam.
Secara ringkasnya, akhirnya penghijrahan umat Islam secara senyap-senyap ke Yathrib (Madinah) diketahui oleh orang Quraisy. Mereka bermesyuarat, dan keputusan mesyuarat membunuh Nabi Muhammad SAW.
Abu Bakr As-Siddiq telah dipilih untuk menemani Rasulullah SAW melarikan diri dari Mekah ke Yathrib (Madinah) akibat dikejar oleh kafir Quraisy. Diriwayatkan Rasulallah SAW bersama Abu Bakr As-Siddiq bersembunyi di Gua Tsur selama 3 malam. Anak kepada Saidina Abu Bakar, Asma' seorang diri telah datang ke tempat persembunyian itu untuk membawa makanan dan minuman setiap petang untuk Nabi SAW serta ayahnya. Dikatakan Asma' ketika itu sedang mengandung. Tetapi masih menghantar makanan atas tanda kasih sayang kepada Baginda Nabi dan ayahnya.

Inilah bas yang kami kira cukup selesa untuk bawa jemaah ziarah luar di sekitar Mekah

Inilah Jabal Tsur. Ketika kami sampai suasana sunyi sepi dan lengang. Tiada sesiapa pun di sini

Berlatar belakangkan Jabal Tsur

KREDIT: Gambar Google

Di dalam Gua Tsur tempat Nabi Muhammad SAW bersembunyi bersama Abu Bakr As-Siddiq
KREDIT: SUMBER
Tiada ekspedisi menaiki Jabal Tsur. Kami akur tak dapat lihat Gua Tsur secara dekat. Moga-moga lepas ini ada umrah yang buat ekspedisi pergi ke Gua Tsur. Jarak Jabal Tsur sekitar 4 km dari Masjidil Haram.
Padang Arafah
Seterusnya bas menuju ke Arafah. Cerita ustaz, wukuf di padang Arafah merupakan salah satu rukun haji.
Rasulullah SAW mengatakan, ‘Haji itu hadir di Arafah' . Ini bermakna jika jemaah haji telepas untuk berwukuf di Arafah walaupun seketika pada 9 Dzulhijjah tidak sah hajinya. Wajib qada' kembali semula untuk laksanakan haji tersebut.
Hari Arafah ini merupakan hari limpahan rahmat & pengampunan dosa. Yang tidak dipanggil menunaikan haji, boleh berpuasa di hari Arafah. Patutlah ada Puasa Hari Arafah. Rupanya sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah. Keutamaan Arafah disebutkan dalam hadis Nabi, ‘Doa yang paling afdhal adalah doa di hari Arafah’. Dalam riwayat lain Nabi mengatakan, ‘Tidak ada hari yang paling banyak Allah menentukan pembebasan hamba-Nya dari neraka kecuali hari Arafah’
Arafah bermaksud "mengetahui""mengenali". Ada tiga pendapat kenapa dinamakan Arafah. Yang pertama kerana di sinilah umat Islam dari seluruh pelusuk dunia datang berkumpul menghadap Allah SWT berwukuf di sini demi mengharapkan pengampunan dan keredhaan Allah. Di sinilah mereka mengenali umat Islam yang lain dari seluruh pelusuk dunia walaupun berbeza warna kulit, berbeza budaya, berbeza bangsa dan adat. Tapi semuanya pergi untuk satu tujuan iaitu mengharapkan pengampunan daripada Allah SWT.
Yang keduanya tatkala Malaikat Jibril menunjukkan tempat-tempat manasik ibadah kepada Nabi Ibrahim A.S di kawasan Arafah ini, kemudian Jibril menanya kepada Nabi Ibrahim "Adakah kamu mengetahuinya? Nabi Ibrahim jawab, 'Ya aku dah mengetahuinya'. Jadi pendapat itu dipetik di sini.
Jabal Alrahmah
Yang ketiganya di sinilah berlaku peristiwa penting umat manusia, iaitu pertemuan yang mengharukan antara kedua nenek moyang kita iaitu Nabi Adam dipertemukan dengan Siti Hawa, setelah mereka terpisah lama. Hawa diriwayatkan diturunkan di Jeddah. Nabi Adam ada pendapat mengatakan diturunkan di India. Akhirnya mereka dipertemukan di Arafah ini iaitu di Jabal Alrahmah. Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah.
Cerita ustaz lagi, tempat ini merupakan antara tempat yang mustajab doa. Sebaiknya berdoa menghadap Kiblat Kaabah Baitullah bukan menghadap batu di atas Jabal Alrahmah ni.
Padang Arafah dulu ialah semata-mata padang pasir, dikelilingi bukit-bukit batu yang luas dan tidak berpenghuni. Tetapi kini ustaz cakap dah ada tumbuh-tumbuhan. Ajaib lagi dah ada internet. Sedikit sebanyak mengganggu perjalanan ibadah jemaah haji. Waktu sepatutnya berwukuf sibuk dengan zikir dsb tetapi dipesongkan dengan update status dan sebagainya. Wallahu'alam. Kemudian dah ada hospital, dah ada masjid. Masjid Namirah yang hanya berfungsi setahun sekali sahaja ketika musim haji sahaja.





'Ya Allah, Mudah-mudahan dengan tempat berkat ini, sebagaimana Kau mempertemukan Nabi Adam A.S dengan Hawa, maka Kau pertemukanlah aku semula dengan suamiku di Syurga Firdaus nanti'

Nampak tak bas yang banyak dalam gambar tu. Bas kami takda dalam gambar tu. Sebelum turun better snap gambar bas as reference. Di sini memang ada jemaah yang sesat tak jumpa bas. Tak ingat rupa bas. Ustaz cakap masa ni masih belum crowded lagi. Kira lengang lagi nih. Perhentian yang sepatutnya 20 minit jadi 40 minit. Memang lama kami kat sini. Berpeluh tengok Ustaz mutawwif kami berlari kehulu kehilir cari jemaah bawah jagaannya. Selagi tak jumpa selagi tu kami tak boleh gerak.

Emosi bila tengok orang lain makan aiskrim. Terliur. Sempatlah suami berlari pergi beli aiskrim yang di war-warkan sedap oleh jemaah Malaysia. Oh memang sedap pun! Terima kasihlah kepada jemaah yang sesat tadi tuh!
Muzdalifah
Seterusnya kami di bawa dengan bas lalu di Muzdalifah. Musim haji penuh sepenuh-penuhnya manusia di sini. Semuanya berpakaian ihram bagi yang lelaki. Semua sama, tiada pangkat, atau harta yang dipandang. Mula-mula dibawa ke Padang Arafah, sekarang di Muzdalifah dan selepas ini ke Mina. Tempat ini hanya digunakan ketika musim haji sahaja.
Sebenarnyakan kita dah belajar tentang haji masa sekolah. Tapi tak faham apa pun. Tak feel langsung sebab tak boleh nak bayang apa-apa pun. Setakat hafal untuk periksa. Sekarang ni setelah sampai di sini, dengar cerita-cerita ustaz baru terbayang dalam kepala dan baru faham serba sedikit perjalanan jemaah haji.
Ustaz cerita kenapa nama Muzdalifah? Ada tiga pendapat.
Yang pertama. Manusia (jemaah haji) mendatangi Muzdalifah pada permulaan malam atau tengah malam iaitu jemaah haji akan bertolak dari Arafah selepas Maghrib. Yang kedua. Manusia meninggalkan secara serentak. Bermalam di Muzdalifah hukumnya wajib. Di sini jugalah jemaah haji akan mengutip batu kerikil sekurang-kurangnya 7 biji & paling banyak 70 biji untuk melontar di Mina. Di Muzdalifah juga semasa Haji Wada' Rasulullah SAW melakukan solat Jama' Taakhir iaitu Maghrib dan Isya' dijama'kan pada waktu Isya'
Mina Camps

Ini pemandangan di Mina. Di Mina jemaah haji akan melontar Jamrah. Jarak dari Muzdalifah ke Mina lebih kurang 4.8km. Yang makcik dalam bas ni tunjuk ialah bangunan coklat iaitu hotel VVIP yang ada di Mina. Siapa yang bayar pakej haji yang mahal, beratus-ratus ribu bolehlah menginap di hotel tersebut. Berdekatan dengan tempat melontar jamrah. Kalau jemaah muasasah tinggal lah di dalam khemah-khemah putih yang seluas pemandangan ni. Memang di Mina ni semua nampak khemah sahaja. Tak boleh bayang bagaimana musim haji. Yang bangunan bertingkat itulah, tempat melontar jamrah, tempat melontar syaitan.

Khemah yang dihuni oleh jemaah haji ketika musim haji


Ustaz mutawwif dah berpeluang menunaikan haji tahun 2009. Ustaz cakap berhimpit-himpit kita dalam khemah ni. Betul-betul sempit. Kaki bertemu kaki. Bahu bertemu bahu. Tak boleh bayangkan kalau ada jemaah sesat. Bagaimana nak cari begini?
Umrah di Ji'ranah
Ada yang sebut Ja'ranah. Seterusnya kami dibawa ke Masjid Ji'ranah untuk berniat ihram di sini. Untuk lakukan umrah ke-2. Check punya check, rupanya tiada sekeping gambar pun di Masjid Ji'ranah. Suami terlupa nak ambil. Azie pun lupa nak snap. Masjid Ji'ranah ini terletak lebih kurang 24km dari Masjidil Haram, Makkah Al- Mukarramah.
Ji’ranah merupakan miqat paling tinggi darjatnya atau tempat miqat paling afdhal dibanding miqat yang lain. Rasulullah s.a.w pernah bermiqat di sini untuk mengerjakan umrah setelah pulang dari peperangan Hunain. Umrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang bermiqat di Ji'ranah ini ialah umrah yang ke-3.
Masa di sini, lupa nak janji dengan suami nak jumpa di mana selepas solat. Maklumlah baru first time terpisah. Keluar masjid dah tak kenal sesiapa. Bas pula masa sampai tadi ada sebuah je. Keluar masjid dah ada berduyun-duyun buah bas. Jalan kehulu kehilir tengah panas, pergi kiri pergi kanan, tawaf setiap bas tak juga jumpa2 bas. Berdoa pada Allah agar urusan dipermudahkan. Mujurlah perasan makcik ni. Memang kami bas yang sama. Azie cam dia sebab kami berjiran bilik di Malak Ajyad. Dia tanya kenapa? kenapa ni? Azie bagitahu yang Azie tak jumpa bas dan tak jumpa suami. Dia cakap takpe jom kita cari bas sama-sama. Sebelum tu makcik ni nak singgah beli kacang dulu atas lori. Elok je tengah pilih-pilih kacang atas lori...suami keluar dari masjid dengan kain ihram. Alhamdulillah lega.

Selesai umrah ke-2. Alhamdulillah. Prof Kamil pesan selesai umrah jangan lupa buat Sujud Syukur pada Allah. Syukur sebab dengan gugurnya rambut ketika bertahallul, moga-moga Allah gugurkan semua dosa-dosa lampau kita.

Menanti Maghrib

Balik masjid cari aiskrim

Sedap!
Dalam Masjidil Haram, ketika solat fardhu Azie ambil peluang menyelit bersolat jemaah di dalam group Arab, di sebelah orang Turkey, di sebelah orang Pakistan, Sri Lanka, India. Masing-masing beri pengalaman yang berbeza. Setiap kali pergi solat berjemaah di Masjidil Haram, setiap kali itulah pengalaman berbeza yang Azie dapat. Yang Allah beri ilham dan Allah tunjukkan sebaik-baik pengajaran. Alhamdulillah.
Ok, pengalaman menyelit dalam group Arab, yang tiba-tiba Azie seorang je jemaah Malaysia yang pakai telekung putih. Lokasi ni di dataran depan Kaabah. Bukan tempat wanita bersolat. Tapi dalam kepungan kon. AllahuRabbi, bau perfume mereka...Azie hampir nak pengsan! Balik hotel sakit kepala. Mengadu pada suami. Suami cakap dia pun tak boleh bau perfume Neelofa yang Azie pakai selalu. Rupanya apa yang azie rasa tadi...itulah yang dia rasa selama ni. Nah, rasakan! Azie bawa perfume Neelofa pergi Makkah. Huhu. Lepas tu terus tukar kepada perfume Kasturi Madinah. Baru suami suka dan hatinya gembira :)
Azie datang awal ke tempat solat wanita. Datang seorang wanita (makcik) jemaah Malaysia duduk di sebelah Azie. Kami tanya khabar sepatah dua kata kemudian masing2 tidak bercakap dan terus lakukan ibadah masing2. Datang jemaah lain (makcik kedua) yakni kawan kepada makcik tadi. Diringkaskan cerita mereka berdua berbual panjang tak berhenti-henti bercakap. Azie rasa jemaah-jemaah lain sedikit terganggu. Begitu juga Azie. Hampir solat fardhu, ruang solat wanita makin penuh dan padat. Tiada ruang nak menyelit. Tempat yang Azie duduk ni mengadap Kaabah. Tiba-tiba datang 2 wanita berkulit hitam, berabaya dan berniqab datang duduk betul-betul tempat solat mereka berdua tadi yakni tempat sujud. AllahuAkbar. Allah Maha Besar. Allah nak tunjukkan sepatutnya dalam Masjidil Haram ambil peluang buat solat-solat sunat, zikir atau solat qada' selagi termampu. Bukan berbual-bual. Jadi Allah tarik nikmat tempat sujud mereka & tempat selesa mereka dalam Masjidil Haram. Berlaku sesi ketidak puas hatiaan makcik2 tadi. Setelah disuruh bangun ke tempat lain, wanita berabaya tadi tetap tidak mahu bangun. Tidak diendahkan. Allah....
Satu hari, sela waktu antara solat Zohor dan Asar, waktu yang singkat...Azie dan suami ambil peluang tawaf di Safwah Tower untuk beli souvenirs dan beli jubah extra. Akibatnya kami agak lambat kembali semula ke masjid untuk solat Asar. Dahla terlambat tidak dibenarkan pulak masuk masjid oleh petugas "NO SHOPPING BAG!" dalam masjid. SEDIHNYAAA -____- Patutlah takda orang bawa shopping bag dalam masjid walaupun Masjidil Haram dikelilingi mall yang besar-besar. Sebab kami nak juga pahala berjemaah tu, terpaksalah solat di dataran luar masjid. Dataran tu orang lalu lalang dengan selipar je. Sedihhhhh.
Ada lagi, sebelum solat fardhu, tiba-tiba datang wanita Arab & kawannya duduk sebelah Azie. Selesai solat sunat, ada dengar mereka sebut Malaysia, yadda..yadda (in arabic)...haram...haram...rupanya kebetulan selang beberapa saf di depan kami ada jemaah Malaysia yang pakai telekung tulis Malaysia dalam jawi. Sampai sudah Azie terfikir apa yang dikatakan haram? haram tu? Tertanya-tanya. Akhirya Allah beri jawapan. Balik umrah, bff Azie datang rumah melawat. Dia cerita pengalaman haji dia di sana. Rupanya yang haram..haram..tu orang Arab tak suka lihat wanita pakai seluar. AllahuAkbar! Memang jemaah Malaysia sekarang ni ramai je yang pakai jubah seluar putih pergi tawaf, pergi solat di masjid dll pakai seluar. Rupanya orang Arab tak suka. Patutlah wanita Arab sentiasa 24 jam di khalayak ramai dengan berabaya hitam. Hatta orang kata pergi laut pun masih memakai abaya.
Sebenarnya kalau difikirkan banyak betul ibrah dan pengajaran sepanjang di sana. Tak terlulis semuanya di sini. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk ditinggalkan.